KEMBARA NILAM ZON CHERAS TAHUN 2015

PENGALAMAN KEMBARA NILAM ZON CHERAS TAHUN 2015 
Oleh: Aula binti Shahrul


Pada tarikh 14 dan 15 Ogos 2015 yang lalu, Pusat Kegiatan Guru Cheras telah menganjurkan Kembara Nilam. Kembara nilam pada tahun ini disertai oleh 88 orang pelajar serta 23 orang guru pengiring daripada sekolah-sekolah disekitar zon Cheras. Sekolah Kebangsaan Sungai Serai telah menghantar 3 orang wakil iaitu, Aula binti Shahrul, Anis Sufi binti Hamdan, serta Qistina Batrisyia binti Nor Halimi.

Pengalaman mengembara selama 2 hari satu malam di tempat-tempat menarik dan bersejarah disekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Pada hari pertama pengembaraan, kami melawat Muzium Sejarah Kuala Selangor. Muzium ini terletak di puncak Bukit Melawati. Kami diberi peluang menaiki trem untuk sampai ke muzium tersebut. Muzium Sejarah Kuala Selangor menyingkap sejarah Kuala Selangor, pengasaan Kesultanan Selangor serta kedatangan dan penglibatan orang Bugis di Kuala Selangor. Kami tidak melepaskan peluang mencatat info-info penting semasa lawatan ke muzium tersebut.

Selepas makan tengah hari di Pantai Redang, kami meneruskan lawatan ke Kilang Bernas yang terletak di Sekinchan. Di kilang tersebut, kami didedahkan tentang 10 proses yang dilakukan untuk menghasilkan beras. Selain itu, kami didedahkan tentang penggunaan teknologi moden dalam penanaman padi di sawah serta pemprosesan padi di kilang. Kami mendapat info-info berguna semasa lawatan ke kilang Bernas.

Pada waktu petang, kami meninjau kawasan sawah padi di sekitar Sg Limau Resort serta mengutip remis di pantai. Aktiviti mengutip remis merupakan aktiviti riadah yang tidak dapat saya lupakan kerana sebelum pengembaraan ini bermula, saya tertanya-tanya tentang bagaimana rupa dan bentuk remis. Kami dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada sekolah-sekolah yang berlainan. Semua kumpulan berlumba-lumba mengorek pasir di pantai untuk mencari remis. Remis yang dicari oleh peserta menjadi sajian tengah hari kami pada keesokkan harinya.

Pada sebelah malam pula, kami melakukan aktiviti ‘night walk’ bersama-sama guru pengiring dan fasilitator. Perjalanan sepanjang 5 km mengajar saya dan rakan-rakan erti kesabaran dan tidak putus asa dalam melaksanakan sesuatu tugas. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah, kami terserempak dengan Majlis ‘Open House’ Penghulu Kampung Sungai Limau semasa aktiviti night walk. Kami dijemput hadir untuk memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut. Saya berasa sangat gembira kerana kepenatan yang dirasai terbayar dengan kemeriahan majlis rumah terbuka serta layanan mesra penduduk-penduduk kampung.

Pada hari kedua pula, saya dan rakan-rakan diberi peluang untuk mencanting dan mewarna batik. Semua peserta menunjukkan bakat terpendam dalam aktiviti mewarna batik. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan yang terbaik semasa aktiviti ini.

Selepas itu, kami meneruskan pengembaraan ke kilang Nata De Coco, tempat penghasilan minyak kelapa dara, serta ladang manga.  Pengembaraan selama 2 hari 1 malam di Kuala Selangor dan Sabak Bernam merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya dapat mempelajari banyak ilmu yang berguna serta berkenalan dengan kawan-kawan baru dari sekolah-sekolah di sekitar Hulu Langat. Saya berharap dapat menyertai aktiviti-aktiviti sebegini lagi pada masa akan datang.







































Tiada ulasan:

Catat Ulasan